Khamis, November 21 2024, 2:37:53 PM ONLINE SALES & SUPPORT : Whatsapps Admin
Ruangan iklan diatas adalah berbayar.
Tarikh : Khamis, November 21 2024, 2:37:53 PM
 

Tumbuhan Sebagai Ubat-Ubatan
Oleh siti zaitun binti taha

PENGENALAN
Malaysia memang terkenal dengan kekayaan hutan tropika yang meliputi sebahagian besar daripada muka buminya. Tumbuhan yang segar ini bukan sahaja menyaman dan mengindahkan persekitaran, tetapi juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Keistimewaan ini jelas menunjukkan kebesaran Tuhan dan betapa sedikitnya ilmu yang ada pada manusia. Betapa tidaknya, jika diteliti dan dikaji, hampir setiap tumbuhan yang dijadikan oleh Tuhan, semuanya mempunyai kegunaan dan keistimewaan yang tersendiri. Sebahagian besar daripada tumbuhan dapat dijadikan ubat; apa yang perlu ialah ilmu dan kajian yang mendalam mengenai sesuatu tumbuhan itu.

Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama berlangsung sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Contohnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 70-80 peratus dari penduduk dunia masih lagi bergantung kepada sistem perubatan tradisional di dalam penjagaan kesihatan asas, manakala di China sistem tradisional telah digunakan sebagai rawatan asas dalam lebih 40 peratus daripada masalah kesihatan dan penjagaan kesihatan.

Pada umumnya yang dimaksudkan dengan ubatan tradisional adalah ramuan dari tumbuhan-tumbuhan yang berkhasiat atau dikatakan berkhasiat sebagai ubat. Khasiatnya diketahui dari penuturan orang-orang tua atau dari pengalaman. Orang-orang Melayu telah sekian lama mengamalkan cara pengubatan yang menggunakan tumbuhan, sama ada ia berasal dari hutan, sekitaran atau ditanam khas untuk tujuan ini. Berbagai-bagai jenis tumbuhan telah diketahui boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dan digunakan dalam perubatan tradisional. Penggunaan tumbuhan dalam perubatan perlulah dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Sepatutnya ia hanya boleh diamalkan oleh orang-orang yang berpengetahuan mengenainya, seperti ahli perubatan tradisional atau ahli herba. Walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang mencuba pengubatan tradisional ini dengan sendiri untuk menyembuhkan beberapa penyakit yang tidak berbahaya. Pengalaman mengajar mereka apakah jenis-jenis tumbuhan yang boleh dan tidak boleh di makan. Perhubungan antara rupa bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan itu sering dikaitkan dengan jenis penyakit yang ingin diubati. Ia merupakan salah satu cara yang penting dalam menentukan tumbuh-tumbuhan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

TUMBUHAN UBATAN

KUNYIT (Curcuma domestica)
Kunyit sebenarnya berasal dari kawasan Asia Tenggara, tetapi sekarang telahpun tersebar di seluruh Asia. Bagi masyarakat Melayu perkataan kunyit dikhaskan kepada kunyit biasa atau nama saintifiknya Curcuma domestica sedangkan jenis-jenis lain diberikan nama temu. Di Malaysia terdapat beberapa spesis kunyit yang liar yang kebanyakannya digunakan sebagai bahan ubatan tradisional. Antaranya ialah temu pauh (Curcuma mangga); temu emas (Curcuma zeodoria); temu putih (Curcuma auriantica); temu hitam (Curcuma aerugtinosa); dan temu lawas atau temu lawak (Curcuma xanthorthiza).

Kalau dilihat sepintas lalu adalah sukar untuk membezakan setiap spesis yang dinyatakan.. secara amnya bentuk dan struktur rumpun rumpun tumbuhan adalah sama. Bagaimanapun, jika diteliti secara terperinci nyatalah setiap spesis itu mempunyai perbezaan-perbezaan terutamanya dari segi daun, bunga, susunan rizom, warna rizom dan aromanya. Curcuma domestica mudah ditanam di negara ini dan sering ditemui dipinggir rumah atau ditanam di dalam pasu oleh masyarakat Melayu. Tumbuhan kunyit merupakan tumbuhan merumpun tahunan. Tingginya lebih kurang satu meter, daunnya lebar, licin dan bertangkai panjang. Bunga kunyit berwarna kuning muda keputihan. Rizomnya (umbi) berwarna kuning tua serta beraroma yang tersendiri.

Daripada analisis kimia rizom kunyit, sebatian-sebatian kimia yang dikenal pasti ialah curcumin yang memberikan warna kuning, tumereon, zingiberin, dan minyak pati yang terdiri daripada turmerol, fellandren, kamfer, curcumon dan lain-lain lagi. Kunyit banyak digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat tradisional. Perahan air kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga digunakan untuk menyembuhkan bengkak hati. Kunyit berserta dengan ramuan-ramuan lain juga digunakan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid, dan melancarkan aliran darah. Sebatian kimia dari kunyit juga telah dibuktikan dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang beras, anai-anai dan lipas.. Kunyit juga didapati berkesan mencegah pertumbuhan kulat dan bakteria.

TEMU LAWAK (Curcuma xanthorhiza)
Temu lawak (Curcuma xanthorhiza) merupakan spesis kunyit yang tumbuh liar. Rumpun tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian dua meter dan merupakan spesis yang tertinggi dibandingkan dengan spesis-spesis lain. Struktur temu lawak seperti kunyit biasa tetapi tulang daunnya berwarna ungu tua. Bunganya berwarna kuning kemerahan. Rizomnya berwarna oren muda, besar dan panjangnya mencapai 10 cm. Aromanya berbeza daripada kunyit biasa dan rasanya pahit pedas. Sebagai bahan ubatan tradisional, temu lawak digunakan untuk mengubati penyakit hati dan demam kuning. Ia juga merupakan ramuan dalam jamu untuk menyembuhkan demam, sembelit, melancarkan aliran darah, meransang pengeluaran air hempedu, ubat asma, dan sakit perut..

Minyak temu ini digunakan sebagai anti-inflamateri. Perahan air temu lawak juga dapat merangsang pembentukan susu bagi ibu-ibu yang bersalin. Disebabkan kegunaannya begitu meluas, di Indonesia ia boleh diperolehi dalam bentuk tablet di kedai-kedai farmasi dengan beraneka jenama.

TEMU HITAM (Curcuma aeruginosa)
Temu hitam merupakan spesis kunyit yang hidup liar dan boleh ditemui di Myammar, Indonesia dan Malaysia. Rizomnya yang tua berwarna ungu atau biru tua, sementara rizom yang muda berwarna biru kehitaman. Rasanya pahit dan pedas. Rumpunnya boleh mencapai ketinggian 1.5 meter. Daunnya berwarna hijau tua dan tulang daunnya berwarna merah keunguan. Rizom temu ini digunakan sebagai ramuan ubatan tradisional.

Contohnya ia digunakan bersama daun lemundi dan madu lebah untuk mengecutkan rahim bagi wanita yang bersalin. Rizomnya juga digunakan sebagai ubat cacing, membangkitkan selera makan bagi kanak-kanak, ia juga digunakan untuk penyakit kulit, pembersihan nifas, dan beberapa penyakit jangkitan kulit.

TEMU PUTIH (Curcuma auriantica)
Temu putih juga mempunyai struktur rumpun yang hampir sama dengan temu lawak. Yang membezakannya ialah rizomnya yang besar dan berwarna putih. Spesis ini sukar ditemui di Malaysia tetapi banyak terdapat di Jawa secara liar. Rizomnya berasa pahit. Rizomnya dijadikan ramuan dalam ubatan.

Air perahan rizom digunakan untuk membuang angin dalam perut dan merangsang pengeluaran air hempedu. Ia juga digunakan sebagai bahan ramuan untuk mengibati usus berdarah (najid berdarah). Tepung temu putih digunakan untuk membuang lemak daripada perut dan mengubati penyakit keputihan.

HALIA (Zingiber officinale)
Halia adalah sejenis tanaman purba. Zingiber ertinya sesuatu yang berbentuk tanduk, ini mungkin ada kaitan dengan bentuk rizom atau umbisinya. Asal usul tanaman halia tidak dapat dipastikan. Ada yang mengatakan tanaman halia berasal dari dataran Asia Tropika, yang merangkumi India hingga ke China. Dengan itu adalah dipercayai bahawa masyarakat India dan China adalah yang mula-mula menggunakan halia. Terdapat juga kenyataan yang mengatakan halia berasal dari Amerika Selatan.

Rizom halia mengandungi 0.8 hingga 3.3 peratus pati minyak dan lebih kurang 3 peratus oleoresin. Kuantiti ini bergantung kepada klon dan juga umur semasa dituai. Selain daripada itu, terdapat juga zat-zat makanan lain seperti vitamin A, B dan C; lemak; protein; asid organik; oleoresin minyak meruap seperti zingeron, zinzerol, zingeberal, zingiberin, borneol, seniol dan feladren. Secara tradisional halia banyak digunakan untuk menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti kurang nafsu makan, pening, kebas, batuk, kembung perut,, tergeliat, bengkak, gatal, muntah, taun, cirit-birit dan lain-lain. Sebaliknya rizom halia muda digunakan sebagai bahan campuran dalam makanan ringan, minuman dan halua. Halia muda digunakan kerana serabutnya yang lembut dan halus.

IKLAN SEBENTAR...IKLAN SEBENTAR...
nasr agro processing sdn bhd - Caramelised Ginger


Di Eropah, halia dikenali sejak zaman Dioscorides dan Pliny, pada abad pertama sesudah Masihi. Penerangan mengenai halia terdapat dalam Meteria Medica. Di sini halia disifatkan sebagai bahan yang berasa pedas apabila dimakan dan boleh membantu dalam pencernaan dan digunakan sebagai penawar racun.
Halia juga disebut di dalam al-Quran.

Sementara itu di dalam Hikayat Seribu Satu Malam telah dicerita tentang khasiat halia sebagai ubat peransang dan pembangkit syahwat. Rosengarten menyatakan bahawa dalam abad ke-5, halia yang ditanam dalam pasu sering dibawa bersama-sama dalam pelayaran yang jauh antara China dan Asia Tenggara. Halia ini digunakan sebagai makanan segar atau digunakan sebagai ubat mencegah sakit perut akibat kekurangan vitamin C.

CEKUR (Kaempferia galanga)
Cekur termasuk di dalam famili halia (zingiberaceal). Ia merupakan tumbuhan herba yang tiada berbatang. Tunas pokok tumbuh terus daripada hujung rizom (umbisi) yang mendatar di bawah permukaan tanah. Biasanya setiap pokok terdiri daripada dua hingga lima helai daun yang tebal berbentuk bujur telur. Bunganya berwarna putih keunguan. Di Jawa, tanaman ini dikenali sebagai kencur.

Cekur mempunyai banyak khasiat. Rizomnya mempunyai aroma yang lembut. Mengikut analisis kimia, rizom cekur mengandungi sebatian minyak pati seperti sineol, borneol, kamphere, asid sinamik dan beberapa sebatia pati minyak yang lain. Baunya yang tersendiri dapat membezakannya dengan jenis halia yang lain.

Rizomnya digunakan sebagai bahan ubatan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, perut memulas, bengkak, muntah, sakit urat saraf, dan lain-lain. Untuk tujuan tersebut biasanya bahagian rizom akan dimakan secara segar. Sesetengah orang lebih gemar meminum air perahan rizom bagi mengubati penyakit-penyakit-penyakit tersebut. Rizom cekur juga banyak digunakan dalam ramuan jamu yang terdapat di pasaran . Selain itu, kajian awal untuk menguji keberkesanan ekstrak rizom cekur sebagai ubat mencegah penyakit lelah telah menghasilkan kesan yang positif. Cekur selalunya digunakan dengan daun jerangau.

Orang Melayu zaman dahulu menggunakan rizom cekur, jerangau dan rempah-rempah lain untuk mengubati demam malaria. Pada peringkat tertentu daun cekur berserta daun intaran dan garam digunakan untuk menyembuhkan penyakit yang sama. Rizom cekur, cekur jerangau dan akar bunga susun kelapa juga dijadikan ubat penyakit resdung. Masyarakat Cina juga banyak menggunakan rizom cekur dalam ramuan ubat tradisi mereka. Rizom yang matang dibersihkan dan dipotong-potong sebesar satu sentimeter. Kemudian rizom tadi dilunturkan dengan asap sulfan selama satu hari sebelum dikeringkan.. Ia digunakan untuk mengubati sakit gigi, menghilangkan kelemumur dan juga membunuh kutu kepala. Orang Cina juga percayarizom sebagai bahan penyelera makanan, membuang angin dalam perut, mengubati sembelit, sakit kepala, dan sebagainya.

Di Indonesia cekur banyak digunakan oleh kaum wanitanya. Mereka menggunakan cekur dalam semua ramuan ubatan tradisional. Wanita selepas bersalin menggunakan rizom cekur untuk memanaskan bahagian perut, bengkak dan kebas otot. Di Filipina rizom cekur digunakan untuk menyembuh penyakit selesema dengan cara menghidu rizomnya. Air rizom cekur juga digunakan untuk menyembuhkan luka dalam perut dan sebagai ramuan dalam tonik. Daripada laporan yang diperolehi nyatalah bahawa cekur merupakan sejenis tumbuhan ubatan yang paling popular digunakan oleh berbilang masyarakat di Nusantara.

ASAM JAWA (Tamarindus indica)
Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika bahagian Selatan padang pasir Sahara. Pokok asam telah lama ditanam di negara India dan sekarang boleh didapati di kebanyakan kawasan tropika di benua Asia, Afrika, dan Amerika. Di Malaysia, kita biasa dengan pokok asam jawa yang tumbuh rendang, jarang-jarang melebihi ketinggian 10 m. Daun pokok asam adalah malar hijau serta mempunyai banyak anak daun yang halus. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang yang benkok, isinya berketul-ketul dan berwarna perang seperti kayu.

Terdapat beberapa jenis pokok asam, tetapi biasanya ia dibahagikan kepada dua jenis, iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Buah pokok asam yang manis di makan sebagai manisan. Kandungan gula dalam buah ini boleh mencapai 40 peratus. Kandungan bahan kimia yang memberi ciri asam pula ialah asid tartar yang boleh mencapai sehingga 14 peratus. Buah asam jawa juga mengandungi karbohidrat, protein, dan lemak. Biji asam jawa pula mengandungi 63 peratus kanji, 14 peratus hingga 18 peratus albuminoid, dan lebih kurang 6 peratus minyak. Ia dijadikan sumber jelos seperti pektin yang digunakan dalam pelbagai industri.

Asam jawa dan akar pokok asam jawa digunakan dalam perubatan tradisional orang Timur untuk menyejukkan badan dan sebagai pelawas buang air besar. Kayu teras digunakan sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati, dan penawar kurang selesa. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa pula mempunyai kegunaan lain, iaitu sebagai ubat cirit-birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin, manakala isinya mengandungi banyak asid tartar. Kulit kayu juga dibuat losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser, dan gatal kerana terkena gigitan serangga.

Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas. Daun muda ditumbuk lumat dan ditampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka , dan bisul. Daun asam jawa yang dicampur dengan kunyit dan ditumbuk lumat jika disapu pada bisul, dikatakan boleh mengubatinya. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan. Kulit kayu direbus dan air rebusan itu diminum untuk melegakan lelah. Sememangnya asam jawa mempunyai banyak kegunaannya dalam perubatan. Selain daripada mengubati penyakit-penyakit di atas, asam jawa juga boleh mengubati pelbagai penyakit seperti selesema, gatal kerongkong, disenteri berdarah, batuk, sakit otot, jaundis, cacing dalam perut, dan cirit birit.

BAWANG PUTIH (Allium sativum)
Bawang putih atau nama sainsnya Allium sativum merupakan tumbuhan berumpun yang bersiung-siung, di mana tiap siungnya terbungkus dengan kulit tipis. Daun bawang putih berbentuk pita, dan akarnya akar serabut. Bunganya berwarna putih, dan kalau dihiris umbinya berbau sangat tajam dan khas. Bahan kimia yang terdapat pada bawang putih ialah sativine dan allicin. Sativine adalah bahan kimia yang mengandungi daya mempercepat pertumbuhan sel dan pertumbuhan jaringan.

Di samping itu ia meransang susunan saraf dan ia berbahaya pada ana kecil kerana mungkin mengakibatkan gatal. Allicin pula mempunyai khasiat antibiotik. Kandungan kimia lainnya adalah: sinistrin, saponin, nicotinic acid dan bersifat hipotensive. Diallydisulfide sebagai anticacing, yitamin A, vitamin B, C dan vitamin D. Juga didapati HCN dan fosfor. Bawang putih sebagai antibiotik dapat memusnahkan bakteria, virus, ameba dan mikroorganisme berbahaya lain. Ia merupakan antibiotik semulajadi yang kuat. Bawang putih begitu kuat sehingga ia mampu memusnahkan sebahagian organisme yang tidak dapat dimusnahkan oleh ubat yang paling kuat. Tetapi tidak seperti ubat biasa, bawang putih tidak menghasilkan kesan sampingan berbahaya.

Oleh itu, bagi mereka yang menghidap selesema, flu, cirit-birit berdarah, taun atau penyakit lain yang berjangkit, maka bawang putih baik untuk kesihatan. Bagi jangkitan dalam telinga, minyak bawang putih yang dititik ke dalam telinga dikatakan ramuan yang berkesan. Bawang putih juga dapat mencuci darah dan menyingkirkan bahan beracun, termasuk logam berat, dari tubuh. Maka tidak diragui bahawa ia boleh membantu pesakit kanser dan penghidap penyakit serius lain kerana penyembuhan lebih mudah berlaku apabila darah menjadi bersih. Ia juga dapat membantu kes-kes kanser yang jauh di dalam tubuh, seperti kanser usus besar, hati, pankreas, prostat, rahim dan tulang. Bawang putih juga berkesan menentang penyakit jantung (biasanya jenis yang). Bawang putih mencair dan mencuci serta mengurangkan proses pembekuan darah.

Ini membolehkan darah mengalir lebih lancar dalam salur darah yang sebahagiannya disekat oleh himpunan kolesterol. Dengan itu kuranglah berlaku serangan jantung. Jadi, bawang putih boleh membantu penghidap darah tinggi, pesakit berkolesterol tinggi dan masalah yang dikaitkan dengan jantung dan peredaran darah.

KESIMPULAN
Sememangnya tumbuh-tumbuhan yang dianugerahkan oleh Allah mempunyai nilaian yang tidak terhingga. Siapa sangka tumbuhan sebagai sumber kegunaan dalam makanan harian kita mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan diri yang mana kita sendiri kurang menyedarinya. Setiap amalan daripada orang yang terdahulu atau lebih tepat lagi daripada masyarakat primitif atau orang asli yang telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain telah meninggalkan kesan yang amat mendalam. Selain daripada mempercayai keberkesanan pelbagai tumbuhan sebagai ubatan tradisional yang mana ia diamal sehingga kini, penemuan-penemuan tersebut juga telah membawa kepada penemuan baru sejajar dengan perkembangan teknologi. Tumbuhan ubat-ubatan telah memainkan peranan yang penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden. Maka kepentingan tumbuhan ubat-ubatan sebagai sumber ubat-ubatan moden tidak boleh disangkal lagi.
Walau bagaimanapun, masyarakat kini sudah celik dan maklum dengan ilmu-ilmu perubatan tradisional yang diwarisi dari amalan dan pertuturan orang-orang terdahulu. Oleh kerana pengamalan ubatan tradisional dari tumbuh-tumbuhan menghasilkan kesan yang positif, maka kebanyakan masyarakat dari pelbagai kaum memilih untuk mengamalkan perubatan tradisional kerana ia lebih mudah, senang didapati, dan tiada kos atau kos yang rendah.

Pada dasarnya tumbuh-tumbuhan dan beberapa keluaran semulajadi yang lain turut menjadi sumber utama dalam sistem perubatan tradisional ini. Selain daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai jenis genera dan spesies ini juga menawarkan pelbagi bentuk bahan asas untuk kegunaan manusia seperti sumber makanan, tempat lindungan dan pakaian. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa perhubungan antara manusia dan tumbuh-tumbuhan memang banyak memberi manfaat kepada manusia sejagat sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

BIBLIOGRAFI
1. Oswald T. Tampubolon, Drs. Apoteker. TUMBUHAN OBAT BAGI PENCINTA ALAM. 1981.
2. DEWAN BUDAYA. Februari 1992.
3. DEWAN BUDAYA. Mei 1992.
4. DEWAN BUDAYA. Jun 1992.
5. DEWAN BUDAYA. Oktober 1997.
6. UTUSAN PENGGUNA. April 1997.
7. DEWAN KOSMIK. Mac 1993.
8. DEWAN KOSMIK. April 1996.

Hantarkan komen anda untuk kita kongsikan bersama ke komentar@dumei.com

 

 
Baca artikel lain
 

HOME ADVERTORIAL OUR SERVICES ABOUT US CONTACT INFO
PERHATIAN : Segala maklumat yang dimasukkan diruangan Bisnes Direktori adalah tanggungjawab individu/syarikat tersebut.
Hak milik Terpelihara DUMEI DOT COM . Sebarang pertanyaan sila emailkan kepada
info@dumei.com
Anda adalah pelawat yang ke